Friday, January 21, 2011

Cubaan memperkosa akhawat

 Ya Allah ! Peliharalah kami !

19 Januari, Irbid – Ketika orang lain sedang seronok menikmati cuti mereka, seorang akhawat, bernasib malang, hampir diperkosa oleh dua orang lelaki Arab di kawasan berdekatan dengan padang kuda (berdekatan kawasan Zam Zam). Kejadian yang berlaku waktu petang itu, memberi kesan yang sangat mendalam kepada mangsa kerana dia bukan sahaja di ekori, malah di tolak dan dipegang oleh penjenayah terbabit.

“Mula-mula saya tak perasan pon ada orang ikut saya dekat belakang. Saya keluar kejap ke bank dan on the way nak balik tu, saya lalu padang kuda tersebut, dan perasan je ada ramai lelaki tengah bermain disitu.”

“Tapi tak sangka pulak ada yang akan ikut saya.”

Mangsa mengambarkan kedua-dua penjenayah terbabit berumur dalam lingkungan 14-16 tahun, seorang kurus dan seorang lagi berbadan agak besar. Tambahnya lagi, mereka mempunyai wajah yang agak segak dan kemas. Seperti mana-mana lelaki Arab yang lain.

“Memang tak sangka pon dia akan buat apa-apa yang jahat sebab mereka nampak macam baik saje.” Kata mangsa yang agak trauma akibat kejadian tersebut.

Pada mulanya dua lelaki tersebut cuba bercakap dengan mangsa. Apabila mangsa bertanyakan ‘Shu?’ (Apa?) kerana tidak faham apa yang diinginkan lelaki terbabit, mereka mula mendekati dia. Lelaki yang disifatkan agak kurus itu kemudian memegang bahu mangsa sambil membisik, dengan nada yang pelik dan seperti ghairah, ‘Iftahi…iftahi…(buka…buka)’ sambil cuba membuka sweater yang dipakai mangsa.

Mangsa kemudian ditolak dan cuba memboloskan diri dari kepungan lelaki-lelaki tersebut. Malangnya, mangsa tidak dapat melarikan diri dengan jauh. Sweater mangsa ditarik dan tangannya digenggam dengan erat. Disebabkan panic, mangsa terus menjerit sekuat hati, dan akhirnya lelaki-lelaki tersebut melepaskan dia, sebelum melarikan diri.

Malam sebelumnya, di kawasan Duar Qubbah, seorang akhawat dikejar oleh dua orang lelaki yang tidak dikenalinya.
Akhawat tersebut, yang pada ketika itu ingin singgah ke bank mengesyaki lelaki-lelaki terbabit ingin mengambil duitnya- berlari sekuat hati sebelum terjatuh dan tercedara di lutut dan muka.

“Saya berharap sangat semua akhawat dapat mengambil iktibar dan pengajaran dari kes-kes yang sudah berlaku. Sudah berkali-kali persatuan ingatkan supaya tidak jalan berseorangan dan berhati-hati ketika keluar. Lagi-lagi waktu cuti begini.” Ulas Ketua Helwi Farhanah Tajurudin dengan nada yang sangat risau.

Hari ini, Ketua Helwi, diiringi dengan Timbalan JKK Keselamatan dan Kebajikan, Izzati Razak membawa mangsa-mangsa kes-kes serius ini ke Balai Polis Madinah Janubi. Disana Inspektor Hassan, Rais Qisim Am (Ketua bahagian Awam) telah mengambil segala maklumat terperinci mengenai kejadian. Antara tindakan yang dibuat adalah mereka meminta mangsa mengenal pasti wajah penjenayah dari rekod polis.

“Yang paling penting adalah dapat cam muka penjenayah tu. Walaupun sikit.” Kata Izzati Razak ketika membantu mangsa melihat gambar-gambar lelaki dalam rekod polis.

Presiden PERMAI, Zaid Daud yang turut serta membantu menerangkan keadaan mangsa kepada pihak polis turut menyokong kaedah mengenal pasti penjenayah dengan melihat gambar-gambar dalam rekod polis. Lebih-lebih lagi apabila kita menangani kes seberat cubaan memperkosa akhawat.

Tidak tahu dimana silapnya, tetapi lelaki Arab kini semakin berani untuk melakukan pelbagai perkara yang membahayakan keselamatan pelajar-pelajar Melayu disini.

Sehingga bila kita akan terus menjadi mangsa?

Sebelum ini pelbagai kes-kes raba dilaporkan berlaku di kawasan Duar Qubbah. Kes yang membabitkan lelaki ‘bertopi dan berplastik hitam’ menjadi bahan berita hangat pada permulaan semester tahun ini.

Kawasan Sakan Sakhawneh, tempat penginapan pelajar JPA juga tidak lekang daripada berita dikacau, diekori dan diintip oleh lelaki Arab yang tidak beradab.

Baru-baru ini Ketua Helwi telah mengeluarkan kenyataan mengenai ‘Flasher’ yang berkeliaran di kawasan bab Syimali. Kawasan Hijazi juga tidak kekok dengan khabar kes pencurian dan gangguan.

Tuntasnya, tak ada tempat yang selamat di Irbid, di Jordan…di mana-mana.  Semua tempat seharusnya kita berhati-hati kerana penjenayah ini boleh mengambil peluang pada bila-bila masa.

Tidak kiralah dimana anda berada, akhawat mahupun syabab jagalah keselamatan diri.

(Kes terbaru, seorang syabab yang jalan berseorangan hampir diragut apabila tangannya dicekup oleh orang Arab. Tetapi dengan refleksinya yang pantas dia sempat melepaskan diri dan menendang penjenyah tersebut.)

Segala laporan yang berkaitan dengan keselamatan bolehlah dibuat terus kepada JKK Kebajikan dan Keselamatan. Atupun boleh terus menghubungi Presiden atau ketua Helwi PERMAI.

~Firdausi Aspirasi Permai~

Untuk Berita yang lebih lanjut bolehlah merujuk portal rasmi PERMAI: http://www.permaijordan.com/

0 comments:

 
Copyright @ 2009 bercinta kerana allah: Cubaan memperkosa akhawat | Original Template: Minima Black | Modifikasi oleh NATALUDIN | Top