Tuesday, January 18, 2011

KUIM


Ali Rustam menyampaikan cenderamata kepada Dr. Ahmad Muhammad Tayyib di Kaherah, Mesir pada lawatan kerja ke universiti berkenaan, baru-baru ini.


MELAKA 18 Jan. - Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) meluaskan lagi jalinan kerjasama antarabangsanya dalam bidang akademik dengan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Timbalan Naib Canselor KUIM, Prof. Madya Dr. Baharudin Puteh berkata, kerjasama tersebut dijalin menerusi pertemuan Canselor KUIM iaitu Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dengan Syeikh Al-Azhar, Prof. Dr. Ahmad Muhammad Tayyib di Kaherah, Mesir baru-baru ini.

Menurutnya, pada pertemuan itu, kedua-dua pihak membincangkan beberapa perkara mengenai pertukaran pelajar dan pensyarah, pemindahan kredit dan bidang penyelidikan (R&D).

''Susulan pertemuan itu, kita sedang merangka draf perjanjian persefahaman agar pelaksanaan kerjasama antara KUIM dan Universiti Al-Azhar diadakan segera," katanya di sini hari ini.

Antara bidang akademik yang dikenal pasti sesuai bagi rangka kerjasama itu seperti bidang usuluddin, syariah islamiah, tahfiz al- Quran dan pengajian islam.

Kata beliau lagi, kerjasama kedua-dua pihak itu dianggap penting bagi memudahkan program pertukaran pelajar dilaksanakan dengan mudah khususnya dalam peringkat ijazah sarjana muda bidang pengajian Islam.

''Oleh kerana KUIM kini sudah dinaikkan taraf kepada Kolej Universiti maka hubungan kerjasama ini perlu diteruskan dalam bentuk yang berbeza," katanya.

Kata, kerjasama yang sama pernah dijalankan dengan Universiti Al-Bayt, Jordan melalui pertukaran lapan pelajar KUIM ke universiti itu dalam peringkat diploma pada tahun lalu.

KUIM juga turut menjalin kerjasama dengan Universiti Nasional Qinghai (QNU), China baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, seramai 13 pelajar KUIM melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan di Institut Latihan Kesihatan Angkatan Tentera (INSAN) baru-baru ini.

Ia bertujuan meningkatkan pemahaman pelajar dalam bidang kejururawatan dan memahami konsep pembelajaran yang dipraktikkan di INSAN.

Sebarang info bolehlah dirujuk melalui laman web KUIM : http://www.kuim.edu.my/

0 comments:

 
Copyright @ 2009 bercinta kerana allah: KUIM | Original Template: Minima Black | Modifikasi oleh NATALUDIN | Top