Sunday, January 23, 2011

Masalah Gigi

Q: Saya memberus gigi setiap hari tetapi kenapa gigi masih rosak?

Kemungkinan besar cara anda memberus gigi tidak betul (tidak membersihkan semua permukaan gigi secara menyeluruh) dan ini menyebabkan plak tidak dapat disingkirkan dengan sempurna dan lama-kelamaan bakteria merembeskan asid yang membuat gigi anda berlubang serta merosakkan struktur sekeliling gigi (gigi bergoyang)

Q: Kenapa gigi saya sensitif apabila saya minum air sejuk atau apabila terkena angin?

Terdapat beberapa sebab gigi anda boleh menjadi sensitif :

1. Terdapat hakisan pada gigi anda akibat dari pemberusan gigi yang kuat dengan menggunakan berus gigi yang berusnya keras (Disyorkan memberus gigi menggunakan berus gigi yg lembut-soft bristles)
2. Akar gigi anda terdedah akibat dari gusi anda telah menurun (attachment loss)
3. Tampalan pada gigi anda bocor (leakage)
4. Gigi yang mempunyai karies (berlubang)

Q: Adakah gigi saya menjadi nipis jika saya membuat pencucian gigi yang kerap di klinik gigi?

Tidak. Pencucian gigi (scaling) oleh doktor gigi hanya membuang plak dan karang gigi yang melekat di permukaan gigi anda dengan cara getaran. Gigi anda tidak boleh terhakis dengan cara ini.

Q: Kalau gigi tidak sakit mengapa perlu berjumpa doktor gigi?

Berjumpa dengan doktor gigi bukan hanya apabila mempunyai masalah gigi tetapi juga untuk mengelakkan dari mempunyai masalah gigi. Dengan berjumpa doktor gigi,anda boleh pastikan yang gigi anda sihat dan bebas dari masalah. Gigi anda akan dapat bertahan lama sampai anda tua. (sediakan payung sebelum hujan)

Q: Berapa kerap saya perlu berjumpa dengan doktor gigi?

Masa yang disarankan ialah setiap 6 bulan tetapi semuanya bergantung kepada keadaan gigi anda. Sekiranya anda tidak mempunyai masalah gigi yang teruk, maka 6 bulan adalah memadai. Tetapi sekiranya anda mempunyai masalah gigi, anda hendaklah mengikut saranan doktor gigi anda. (boleh jadi setiap 3 bulan @ setiap 6 bulan @ setiap 12 bulan)

Q: Bolehkah gigi yang bergoyang kuat semula?

Tidak boleh. Gigi yang bergoyang adalah disebabkan oleh tulang yang memegang gigi telah rosak dah hilang sedikit demi sedikit. Tulang gigi tidak boleh tumbuh semula apabila telah rosak sama seperti gusi.

Q: Adakah gigi yang sakit perlu dicabut? 

Tidak semestinya. Ada perbagai pilihan lain untuk rawatan gigi yang sakit seperti tampalan sementara, tampalan kekal, rawatan saraf separa , rawatan saraf penuh atau pencucian gigi .Ini bergantung kepada keadaan gigi anda. Jangan lupa bertanya keada doktor gigi anda tentang pilihan rawatan.

Q: Adakah saya tidak boleh berjumpa doktor gigi semasa mengandung?

Amat penting bagi ibu-ibu yang mengandung untuk berjumpa doktor gigi semasa mengandung. Disebabkan perubahan hormon, gusi ibu-ibu mengandung amat cenderung untuk mendapat keradangan gusi (gingivitis) yang menyebabkan gusi senang berdarah dan bengkak. Masalah ini dapat diatasi sekiranya penjagaan gigi yang betul diamalkan dah juga pembersihan mulut oleh doktor gigi dilakukan.

Q: Bolehkah saya mencabut gigi semasa mengandung?

Boleh hanya pada usia kandungan 4-6 bulan sahaja. Pada awal dan akhir kandungan, pencabutan gigi tidak digalakkan kerana risiko yang tinggi kepada kandungan.

Q: Kenapa mulut/nafas saya berbau?

Sebab utama mulut seseorang berbau adalah kerana terdapat banyak karang gigi dan plak pada permukaan gigi . Ia juga boleh terhasil apabila seseorang itu tidak membersihkan lidah mereka. Antara sebab lain ialah seseorang yang mempunyai air liur yang kurang akibat dari penyakit atau pemakanan ubat. Bau mulut boleh diatasi dengan memastikan gigi dan lidah diberus dengan betul dan penggunaan ubat kumur (chlorhexidine mouth wash). Bagi mereka yang mempunyai masalah kekurangan air liur, mengunyah gula getah atau menggunakan air liur gantian boleh menyelesaikan masalah ini.

Q: Kenapa gigi saya tidak putih?

Kebanyakkan warna gigi yang asli ialah putih kekuningan. Biasanya gigi akan berwarna sedikit kekuningan di bahagian leher gigi yang berdekatan dengan gusi. Ini adalah kerana lapisan luar sedikit nipis berbanding bahagian lain dan menyebabkan lapisan dalam yang kekuningan terserlah. Ada beberapa sebab mengapa sesetengah orang mempunyai gigi yang sangat kuning/coklat.

1. Kesan sampingan ubat antibiotik tetracycline yang diambil oleh ibu mereka semasa mengandung
2. Kesan dari flurosis (terlebih florida)
3. Kesan dari menghisap rokok yang kerap
4. Kesan dari meminum minuman seperti milo, teh, kopi yang kerap

Q: Selamatkah saya menggunakan pemutih gigi? 

Sebaiknya pergilah mendapat nasihat dari doktor gigi sebelum menggunakan ubat pemutih gigi. Terdapat perlbagai jenis pemutih gigi yang terdapat di pasaran. Salah satu kesan sampingan bahan pemutih gigi ialah gigi menjadi sensitif jadi gunakannya dengan berhati-hati.

0 comments:

 
Copyright @ 2009 bercinta kerana allah: Masalah Gigi | Original Template: Minima Black | Modifikasi oleh NATALUDIN | Top