Sunday, February 20, 2011

MELAKA TREM

Projek Melaka Trem ikon utama negara

MELAKA 19 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan projek Melaka Trem bernilai RM272 juta di Ayer Keroh di sini, mampu menjadi ikon utama negara apabila ia siap kelak.

Menurut beliau, trem yang pertama di dunia menggunakan gas asli (NGV) itu bukan sahaja bakal dinikmati oleh penduduk Melaka malah keseluruhan rakyat negara ini.

Beliau teruja dengan pelaksanaan projek itu kerana teknologinya dibangunkan oleh rakyat tempatan yang juga Presiden dan Pengarah Urusan syarikat pengeluar trem, Mrails International Sdn. Bhd., Datuk Jeya Kumar.

"Kita perlu mencetuskan produk-produk yang lebih unik lagi menarik.
"Melaka Trem ini dianggap unik kerana ia belum pernah dilakukan dan trem ini pertama di dunia yang menggunakan NGV sebagai tenaga penggerak," katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah projek Melaka Trem di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan penaung Mrails International Sdn. Bhd., Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Melaka Trem yang dijadual siap pada Mei tahun depan dilaksanakan secara usaha sama di antara Melaka, Pahang dan Terengganu yang menyediakan khidmat pusat latihan bagi pengendalian pemanduan trem.

Landasan trem sejauh 40 kilometer itu bermula dari Plaza Tol Ayer Keroh melalui 23 lokasi termasuk tempat-tempat bersejarah hingga ke Dataran Pahlawan di Bandar Hilir.

Antaranya landasan trem akan melalui Hotel Seri Malaysia, Taman Botanikal, Zoo Melaka, Masjid Al-Azim, Muzium, Dataran Pahlawan, Kelab Harbour, Kampung Hilir dan Hospital Putra.

Caj bayaran kemudahan trem tersebut juga dilihat mesra rakyat dan antara terendah di dunia iaitu RM2 untuk sekali perjalanan manakala RM5 bagi perjalanan sehari.

Sementara itu di Jasin, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan Kerajaan Pusat sebanyak RM5.5 juta bagi membina dan menaik taraf Jeti Nelayan Kuala Merlimau Pantai.

Peruntukan itu turut merangkumi kos bagi kerja-kerja mengorek dan mendalamkan muara bagi memudahkan nelayan keluar masuk ke jeti tersebut.

Selain itu, ia turut melibatkan penyediaan kemudian seperti stor, bengkel membaiki bot dan gerai ikan.

Terdahulu, Najib meluangkan masa berjalan kaki meninjau pembangunan sekitar pekan Merlimau sebelum disambut kira-kira 3,000 penyokong Barisan Nasional (BN).

0 comments:

 
Copyright @ 2009 bercinta kerana allah: MELAKA TREM | Original Template: Minima Black | Modifikasi oleh NATALUDIN | Top