Tuesday, January 18, 2011

BIASISWA

Biasiswa RM18,000 sambung sijil kemahiran

MELAKA 18 Jan. - Khabar gembira buat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang apabila mereka layak mendapat biasiswa bernilai RM18,000 seorang untuk menyambung pengajian ke peringkat sijil kemahiran.

Bagaimanapun, tawaran itu hanya dihadkan kepada 80 orang anak kelahiran negeri ini tanpa mengira kaum asalkan lulus SPM berumur 18 hingga 24 tahun.

Yang Dipertua Yayasan Insan Melaka, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, biasiswa penuh yang ditaja oleh Pembangunan Sumber Manusia itu hanya ditawarkan di peringkat sijil dalam bidang Teknologi Automasi dan Mekatronik.

"Pemohon yang layak akan mengikuti pengajian dalam bidang ini selama 18 bulan di Kolej Auto Prima di Seksyen 33, Shah Alam, Selangor.

"Sepanjang tempoh itu juga, mereka disediakan penginapan dan diberi elaun sara hidup antara RM350 dan RM400 sebulan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Saharuddin berkata, pemberian biasiswa itu adalah salah satu usaha membantu pelajar lepasan SPM yang tidak menerima tawaran melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di negara ini.

"Pelajar yang mengikuti sijil kemahiran ini juga tidak perlu bimbang kerana dijamin akan terus mendapat pekerjaan dalam bidang berkaitan sebaik tamat pengajian," katanya.

Selain biasiswa tersebut, pelajar lepasan SPM yang lain juga masih boleh memohon untuk melanjutkan pengajian di peringkat sijil dalam bidang Kerani Guaman serta Masakan dan Perhotelan selama 18 bulan.

"Mereka yang berminat mengikuti kursus ini hanya perlu membayar yuran pengajian iaitu RM600 bagi kursus Kerani Guaman dan RM500 bagi Masakan dan Perhotelan.

"Bayaran tersebut adalah bagi kos penginapan selain mereka juga akan dibayar elaun sara hidup antara RM100 dan RM400 sebulan," katanya.

Tambah beliau, selebihnya, kos pengajian selama 18 bulan bagi dua kursus itu tertakluk di bawah pinjaman Tabung Pembangunan Kemahiran.

Jelasnya, bagi kursus Kerani Guaman, pelajar akan mengikuti pengajian di Kolej Miraj, Bandar Baru Ampang, Selangor manakala Akademi Kagumas di Bangi pula bagi pelajar kursus Masakan dan Perhotelan.

Mereka yang berminat memohon biasiswa berkenaan atau melanjutkan pengajian dalam bidang yang ditawarkan boleh menghubungi Yayasan Insan Melaka di talian 06-2346601 .

laman web Yayasan Insan Melaka : http://www.yayasaninsanmelaka.org.my/

0 comments:

 
Copyright @ 2009 bercinta kerana allah: BIASISWA | Original Template: Minima Black | Modifikasi oleh NATALUDIN | Top