Monday, January 24, 2011

Karisma - UTeM

BAGI mencapai matlamat melahirkan golongan generasi muda berkepemimpinan dan berketrampilan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meluluskan penubuhan Sekretariat Kumpulan Rakan Siswa Malaysia (Karisma), baru-baru ini.

Penasihat Karisma UTeM, Ruzaiman Abdul Rahman berkata, sekretariat itu membina keperibadian pelajar unggul selain memberi pendedahan kepelbagaian aspek membabitkan budaya, teknologi, komunikasi dan kesenian.

Beliau berkata, penubuhan itu penting bagi melahirkan kumpulan sokongan yang berkarisma dan berdaya saing serta mempunyai ilmu mantap.

"Karisma menjadi wadah kepada UTeM melahirkan mahasiswa berkebolehan di pasaran tempatan dan global.

"Ia selaras hasrat pelbagai pihak mahu melihat mahasiswa sebagai komuniti pengganti masyarakat yang mampu mentadbir negara.

"Semoga dengan penubuhan Karisma, ia membantu institusi melahirkan graduan serta masyarakat tersohor pada masa depan," katanya. Karisma di bawah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKKM).


Pelbagai pendedahan akan melahirkan mahasiswa bermoral, beretika, berpegang teguh kepada nilai agama dan mempunyai sikap progresif serta minda kelas pertama, selain berpegang kepada konsep berpersatuan seperti kepemimpinan, komunikasi, berpasukan dan kesukarelawanan.

Keahlian Karisma terbuka kepada mahasiswa UTeM dan peserta dilatih Jasa untuk mengikuti Kem Rakan Siswa.

Antara aktiviti Karisma termasuk bicara tokoh, merakyatkan seni dan budaya bangsa, merentas kampus, lawatan ke universiti luar negara, seminar peningkatan kualiti mahasiswa, khidmat siswa ke Sabah dan Sarawak, sukan antara universiti serta penjelasan mengenai isu semasa negara.

laman web rasmi UTeM : http://www.utem.edu.my/

0 comments:

 
Copyright @ 2009 bercinta kerana allah: Karisma - UTeM | Original Template: Minima Black | Modifikasi oleh NATALUDIN | Top